Waktu menulis blog ini, aku mengalami kesusahan dan kesedihan. Walaubagaimanapun, aku selalu ingat yang hidup kita ni hanya sementara dan dipinjam oleh Allah s.w.t. Oleh itu, walaupun susah setara mana,insyallah akan aku lalui dengan sebaik2nya dan selalu mengingati Allah s.w.t. Selain solat dan berdoa, aku juga mencari sedikit panduan untuk aku menangani kesusahan dan kesedihan yg dialami. Disini aku kongsikan artikel berkenaan untuk dikongsi dengan org lain jgk.
Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam 
kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian 
diluangkan di tempat kerja. 
Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara 
persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan 
mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan 
tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan 
fizikal. 
Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak 
baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa 
adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan 
ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi 
seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan 
metodologi yang tepat.
Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat 
mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, 
sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara 
kesannya. 
Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan 
salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah 
disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya. 
Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja 
melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga 
seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan 
sebagainya.
Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik 
menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada 
ajaran dan syariat Islam. 
Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan 
kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan 
ketentuan Allah SWT. 
Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan 
sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, 
maksudnya: "
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit 
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan 
(dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil 
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar 
(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, 
mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada 
Allah jualah kami kembali."
  
Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia 
ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan,
 begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita 
harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh 
Allah SWT. 
Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja 
sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, 
ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. 
Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang 
membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi 
tekanan dengan tenang dan berjaya. 
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: 
"(Tuhan
 yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat 
tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka 
bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang 
sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk 
menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha 
Bijaksana.'
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang
 cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima 
waktu dan memperbanyakkan solat sunat. 
Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan 
fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. 
Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya 
solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh
 dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT). 
Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang 
pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan 
Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap
 sebarang tekanan. 
Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem 
pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang 
otak.
Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan 
dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang 
itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran 
seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya:
 
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan 
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya
 Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'
  
Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, 
bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa 
sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: 
"(Iaitu)
 orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan 
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati 
manusia.'
  
Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir 
al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 
'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari). 
Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah 
kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah
 itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini 
adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam 
merungkaikan segala permasalahan manusia.
Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya. 
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja 
yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif 
adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan 
mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak. 
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang 
terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang
 Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan 
berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan 
segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk 
ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 
bermaksud: 
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya
 Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang 
sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka
 Jahanam dalam keadaan hina."
Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, 
mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat 
tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya. 
Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang 
menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya
 boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat 
Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:
 
"Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan 
kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan
 engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai 
(di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku 
yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan 
pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan 
syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan 
hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.