MENGAPA DILARANG ?
Apabila
sudah mengetahui akan WAKTU YANG DILARANG untuk mengerjakan solat
sunat, sudah pasti kita ingin tahu akan sebab musabab larangan itu
berlaku. Tentu sekali tidak adil apabila kita dilarang melakukan sesuatu
tetapi tidak mendapat penjelasan tentang larangannya.
Begitulah
persoalan yang timbul di benak fikiran saya semasa di bumi Haramain
sehingga melahirkan rasa tidak puas hati kerana hanya dimaklum tentang
waktu larangan tetapi tidak dijelaskan sebab larangannya. Kebanyakan
mereka yang saya temui hanya memberitahu secara umum akan sebab larangan
iaitu dilarang solat sunat selepas solat Subuh dan solat Asar. Noktah.
Di
dalam kursus-kursus haji juga kurang ditekankan aspek waktu yang
dilarang solat dan sebab larangannya. Kerana itu, saya dapati ramai
jemaah haji wanita dari Malaysia (juga dari negara-negara Islam lain)
yang melakukan solat sunat selepas kedua waktu larangan ini. Oleh itu,
saya sarankan kepada bakal haji agar membuat rujukan dan mendalami ilmu
Fekah terutama bab solat kerana banyak kesalahan dilakukan sehingga
berleluasa kesilapannya sampai melanggar syariat Islam. Astaghfirullah
al-’Azdhim.
Berhubung
dengan persoalan di atas, SEBAB-SEBAB LARANGAN itu berlaku telah
dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada
Rasulullah saw, “Beritahukan kepadaku tentang solat ? Lalu baginda saw
menjawab:
“Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sampai ia naik. Sesungguhnya pada saat terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.
Kemudian berhenti dari solat kerana pada saat itu, Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”
No comments:
Post a Comment