KITA selalu mendengar orang berkata: “Hah, dia tu memang busuk hati.”
 Atau mungkin juga kita pernah mendengar ungkapan ini: “Kau janganlah 
lembut hati sangat, nanti kepala kau tu dipijak-pijakkannya.”
Demikian dua contoh bagaimana ujaran perkataan hati digunakan dalam masyarakat kita. 
 
Ini menunjukkan hati merupakan alat atau organ paling isitimewa 
sehingga banyak kata bidalan atau pepatah yang menggunakannya sebagai 
lambang kepada situasi manusia dan untuk menunjukkan watak seseorang.
Hati bolehlah diibaratkan suis kepada pergerakan anggota badan yang lain.
 
Jika baik dan elok hati itu berfungsi maka akan baik dan cantiklah persembahan yang ditunjukkan oleh anggota badan lain. 
Dengan kata lain, apa saja yang dilakukan manusia sama ada 
berbentuk kebaikan atau kemaksiatan, semuanya berpunca daripada hati. 
Hati umpama raja yang yang mengarahkan seluruh anggota badan yang lain supaya mengikut perintahnya. 
Abu
 Hurairah mengatakan: “Hati umpama raja dan anggota badan sebagai 
pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah 
bertugas dengan baik juga. 
“Apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya pun begitu juga.”
Rasulullah
 s.a.w  juga banyak memperkatakan mengenai hati yang antara lain, tegas 
Baginda: “Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging. 
Apabila ia baik, jadi baiklah seluruh badannya dan sekiranya buruk, maka
 buruklah semuanya. Ketahuilah ia adalah hati.” (Hadis direkod Bukhari 
dan Muslim) 
Malah, jika kita teliti beberapa tokoh bukan Islam 
di Barat juga ada yang menyetujui bahawa hati memainkan peranan utama 
kepada sahsiah peribadi manusia. 
Contohnya dalam buku yang 
berjudul ‘Heart, Self and Soul’ oleh Robert Frager mengungkap: “Hati 
adalah kuil yang Tuhan tempatkan dalam diri setiap manusia. Sebuah kuil 
bagi menampung percikan Tuhan di dalam diri kita. 
“Kuil dalam 
diri kita itu lebih berharga daripada kuil yang paling suci di manapun 
di muka bumi ini. Oleh sebab itu, melukai hati manusia lebih besar 
dosanya berbanding merosakkan tempat suci di dunia ini.”
Anda setuju dengan pendapat beliau ini?
Sama
 ada kita bersetuju atau tidak dengan wacana fikir Frager berkenaan, apa
 yang jelas ialah hati menentukan perilaku manusia di muka bumi ini. 
Semakin ramai manusia yang sakit dan rosak hatinya maka akan tergendalalah ketenteraman hidup masyarakat dan negara. 
Ibnu Qayyim mengeluarkan pendapatnya mengenai hati manusia. 
Kata ulama tersohor berkenaan, Allah menjadikan dua hati - satu yang malang dan satu yang selamat.
Dua
 hati yang malang itu adalah hati yang sakit dan hati yang kasar 
manakala hati yang selamat adalah hati yang tunduk kepada Tuhannya, 
tenang dan pasrah kepada Allah. 
Jadi, marilah kita secara jujur 
memuhasabah diri bertanyakan diri sendiri, kita mempunyai hati yang 
bagaimana. Adakah hati kita sakit dan kasar atau hati kita sentiasa 
tunduk kepada Allah, tenang menghadapi perlikuan hidup dengan sifat 
mahmudah yang terpuji?
Andai kata selama ini hati kita bersarang kekotoran dan dipenuhi virus mazmumah, maka jangan kita berlengah lagi. 
Ambil
 tindakan segera membetulkan kedudukan hati agar menjadi sihat dan 
bersih. Bagaimana kaedahnya kita merawati dan memulihkan hati? 
Wahai
 saudaraku yang dirahmati Allah, dalam mengenal pasti pendekatan terbaik
 membaik pulih hati kita ialah dengan merujuk kepada apa yang pernah 
diutarakan oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah. 
Antara lain 
katanya: “Sebagaimana menjaga kekuatan tubuh yang memerlukan makan yang 
berzat  maka menjaga kesihatan dan kekuatan hati juga memerlukan perkara
 yang sama. 
“Tetapi makanan berzat dan penuh khasiat bagi hati 
ialah iman, zikir, solat, bersedekah ataupun perbuatan lain yang 
berupaya ketaatan kepada Allah.”
Seperti mana anggota tubuh, hati juga perlu dijaga kekebalannya supaya tidak mudah dihinggapi penyakit. 
Kaedahnya
 adalah dengan menjauhi perbuatan yang mendatangkan dosa seperti 
maksiat, berdusta, berdengki khianat dan sifat mazmumah yang lain. 
Untuk
 menjamin bahawa hati itu benar-benar sifar penyakit adalah dengan cara 
bertaubat, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah. 
Ini petua yang baik yang seharusnya kita jadikan panduan dalam usaha merawati hati. 
Insya-Allah
 dengan istiqamah kita melakukan taubat dan melaksanakan amalan hati 
bersifat mahmudah, kita dilindungi Allah dari memiliki hati yang 
berpenyakit, kotor dan keras. 
Walaupun hati tidak dapat dilihat 
dengan mata zahir namun tindakan yang terpercik pada perlakuan atau 
tingkah laku seseorang seperti sabar, berani, simpati dan empati.
Pemurah
 dan sifat  mahmudah yang lain memberi  tafsiran kepada kedudukan hati 
yang bersih dan sihat. Begitu jugalah dengan manifestasi perlakuan buruk
 seperti lekas pemarah, dengki, berburuk sangka, suka mengumpat dan apa 
sahaja sifat mazmumah mempamerkan seseorang itu berhati kotor dan 
berkarat.
Jadi, wahai saudaraku yang beriman, kita seharusnya 
menjaga hati agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik, bersih dan 
sihat. Kita mesti memeliharanya sebagaimana kita menjaga dan memelihara 
anggota tubuh badan lain. Ini tidak, kesihatan tubuh badan zahir seperti
 kulit dan rambut misalnya bukan main lagi dijaganya. 
Pantang 
tengok ada tompokan yang menjijikkan pada kulit, maka cemas dan 
risaulah. Macam-macam ubat dicari agar kulit menjadi sihat kembali. 
Begitulah sayangnya kita kepada anugerah Allah berupa anggota tubuh badan zahir. Tetapi bagaimana pula dengan kesihatan hati ?
Kita sekali lagi meninjau apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim, tetapi kali ini kita lihat dari sudut  punca perosak hati pula. 
Kata
 beliau, terdapat lima faktor yang akan merosakkan hati seseorang 
manusia. Pertama katanya, ialah akibat daripada gaya pergaulan yang 
tidak bermanfaat. Ini bermakna segala pergaulan yang sia-sia dan 
membuang masa bermakna akan memberi kesan negatif kepada kesuburan hati.
 
Kedua ialah angan-angan berpanjangan, diikuti faktor ketiga iaitu bergantung pada selain Allah. 
Penyebab seterusnya berpunca daripada perut yang kenyang dan terakhir kata Ibnu Qayyim ialah banyak tidur.  
Demikian
 pentingnya kita sebagai hamba Allah  sentiasa menjaga hati agar 
perwatakan peribadi sejajar dengan kehendak agama. Ingatlah, hati yang 
sihat, peribadi menjadi hebat.