Sunday 10 February 2013

Waktu Larangan Solat Sunat

MENGAPA DILARANG ?

Apabila sudah mengetahui akan WAKTU YANG DILARANG untuk mengerjakan solat sunat, sudah pasti kita ingin tahu akan sebab musabab larangan itu berlaku. Tentu sekali tidak adil apabila kita dilarang melakukan sesuatu tetapi tidak mendapat penjelasan tentang larangannya. 

Begitulah persoalan yang timbul di benak fikiran saya semasa di bumi Haramain sehingga melahirkan rasa tidak puas hati kerana hanya dimaklum tentang waktu larangan tetapi tidak dijelaskan sebab larangannya. Kebanyakan mereka yang saya temui hanya memberitahu secara umum akan sebab larangan iaitu dilarang solat sunat selepas solat Subuh dan solat Asar. Noktah. 

Di dalam kursus-kursus haji juga kurang ditekankan aspek waktu yang dilarang solat dan sebab larangannya. Kerana itu, saya dapati ramai jemaah haji wanita dari Malaysia (juga dari negara-negara Islam lain) yang melakukan solat sunat selepas kedua waktu larangan ini. Oleh itu, saya sarankan kepada bakal haji agar membuat rujukan dan mendalami ilmu Fekah terutama bab solat kerana banyak kesalahan dilakukan sehingga berleluasa kesilapannya sampai melanggar syariat Islam. Astaghfirullah al-’Azdhim.

Berhubung dengan persoalan di atas, SEBAB-SEBAB LARANGAN itu berlaku telah dijelaskan oleh ‘Amr bin ‘Abasah bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah saw, “Beritahukan kepadaku tentang solat ? Lalu baginda saw menjawab:
“Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sampai ia naik. Sesungguhnya pada saat terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek.

Kemudian berhenti dari solat kerana pada saat itu, Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat)  sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitan dan pada saat itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”